Monday, March 12, 2018

Karangan Syarahan: Cara-cara menjadi murid cemerlang


Cara-cara menjadi murid yang cemerlang
Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis.Guru Besar, guru-guru serta rakan-rakan sekalian. Tajuk syarahan saya pada pagi ini ialah ‘Cara-cara menjadi murid yang cemerlang’.
          Setiap orang ingin berjaya. Setiap murid inginkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Namun begitu, kejayaan ini tidak akan datang dengan sendirinya.
Para hadirin yang dihormati,
          Untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, kita perlu rajin belajar. Kita juga perlu menumpukan sepenuh perhatian terhadap apa yang disampaikan oleh cikgu. Kita mestilah bertanya kepada guru sekiranya tidak faham tentang sesuatu topik pelajaran.
          Selain itu, kita perlu mengulang kaji pelajaran di rumah. Contohnya, kita bolehlah membaca nota pelajaran yang diberikan oleh guru. Kita juga boleh membuat nota sendiri supaya lebih mudah difahami. Oleh itu, sesuatu topik itu akan kekal dalam ingatan dan minda kita.
          Seterusnya, kita bolehlah mengikuti kelas tambahan yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Melalui kelas tambahan, guru-guru akan memberi latihan yang berfokus kepada kita. Kesannya, pemahaman terhadap sesuatu pelajaran itu akan meningkat.
          Tambahan pula, Kita haruslah bersikap sabar dan tidak mudah berputus asa. Kita perlu berusaha bersungguh-sungguh semasa menghadapi apa-apa masalah dan cabaran dalam kehidupan. Kita juga harus mematuhi nasihat ibu bapa dan guru kerana mereka mempunyai pengalaman kehidupan yang lebih luas.
         Kesimpulannya, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi murid yang cemerlang dalam pelajaran, ibarat genggam bara api biar sampai jadi arang.
          Sekian, terima kasih.

13 comments: