Cara-cara menjadi
murid yang cemerlang
Yang
dihormati Tuan Pengerusi Majlis.Guru Besar, guru-guru serta rakan-rakan
sekalian. Tajuk syarahan saya pada pagi ini ialah ‘Cara-cara menjadi murid yang
cemerlang’.
Setiap orang ingin berjaya. Setiap
murid inginkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Namun begitu,
kejayaan ini tidak akan datang dengan sendirinya.
Para
hadirin yang dihormati,
Untuk mendapat keputusan yang
cemerlang dalam peperiksaan, kita perlu rajin belajar. Kita juga perlu
menumpukan sepenuh perhatian terhadap apa yang disampaikan oleh cikgu. Kita
mestilah bertanya kepada guru sekiranya tidak faham tentang sesuatu topik
pelajaran.
Selain itu, kita perlu mengulang kaji
pelajaran di rumah. Contohnya, kita bolehlah membaca nota pelajaran yang
diberikan oleh guru. Kita juga boleh membuat nota sendiri supaya lebih mudah
difahami. Oleh itu, sesuatu topik itu akan kekal dalam ingatan dan minda kita.
Seterusnya, kita bolehlah mengikuti kelas
tambahan yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Melalui kelas tambahan, guru-guru
akan memberi latihan yang berfokus kepada kita. Kesannya, pemahaman terhadap
sesuatu pelajaran itu akan meningkat.
Tambahan pula, Kita haruslah bersikap
sabar dan tidak mudah berputus asa. Kita perlu berusaha bersungguh-sungguh
semasa menghadapi apa-apa masalah dan cabaran dalam kehidupan. Kita juga harus
mematuhi nasihat ibu bapa dan guru kerana mereka mempunyai pengalaman kehidupan
yang lebih luas.
Kesimpulannya, kita perlu berusaha
bersungguh-sungguh untuk menjadi murid yang cemerlang dalam pelajaran, ibarat
genggam bara api biar sampai jadi arang.
Sekian, terima kasih.